Faisal Tehrani: Lintasan Hati

Lama saya berada di hadapan komputer ini, memikir untuk menulis entri ini. Akhirnya saya memutuskan untuk menulisnya, dan kemudian lama pula saya memikirkan samada perlu untuk menerbitkannya. Dan kerana tuan-tuan dapat membacanya, ia bermakna saya memutuskan untuk menerbitkannya. Saya manusia biasa. Jadi ada lintasan hati.


Saya masih ingat pada hari seorang penulis muda bernama Khairun Nasriah memberitahu saya yang Mufti Perlis (sekarang bekas), Dr Mohd Asri Zainal Abidin 'menuduh' saya syiah. Bingung sekejap saya. Kerana serta merta nostalgia saya di Kolej Islam Kelang (sekarang KISAS) kembali. Beliau antara naqib yang saya kagumi. Malah saya pernah mengekornya ke Taman Melewar untuk berusrah secara rahsia dengan Ustaz Yahya Othman, Ustaz Yaacob Hussain dan ramai lagi. Dalam hati saya memikir, masakan ustaz Asri serkap jarang seperti ini. Apatah lagi keluarga isterinya mengenal ibu bapa saya selaku aktivis sebuah parti di Melaka.

Akan tetapi bila saya dihubungi oleh 'seorang syed' menerusi telefon yang mengesahkan khabar yang dibawa oleh Khairun Nasriah tersebut, hati saya serta merta berasa kecewa. Syed tersebut memberitahu yang beliau ingin menyaman ustaz Asri kerana ustaz tersebut dikatakan 'menghina' keturunan para syed dan syarifah di negara ini. Saya hanya mendengar. Kemudian, syed yang saya tidak pernah temui itu mengutus emel, berserta klip video, rakaman ceramah Dr Asri menuduh saya syiah di sebuah masjid dalam satu kuliah maghrib di Perlis.

Saya masih menyimpan klip video tersebut sampai sekarang. Vonnis in absentia. Saya dihukum tanpa dapat membela diri. Dan serta merta tuduhan itu merebak menjadi dakwaan yang diyakini benar ramai orang. Termasuklah ramai teman-teman di Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya bahkan diberitahu yang tuduhan itu bukan sekali, tetapi dibuat berkali-kali di banyak tempat. Bukti-bukti lain dibawa oleh orang. Saya malah dihubungi sekian peguam yang berasa bakal dapat membuat untung besar jika saya memilih untuk menyamannya.

Ia diburukkan apabila Malaysiakini pula ikut memanjangkan perkara.

Waktu itu saya berasa amat keseorangan. Saya memilih untuk mendiamkan diri. Kadang-kala saya terpekik seorang diri di blog ini membela diri.Saya betul-betul rasa keseorangan.

Ketupat Cinta di Harian Metro dihentikan. Seorang pegawai tinggi Dewan Bahasa dan Pustaka mengumumkan supaya nama saya digam dari semua aktiviti Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tuduhan Dr Asri tersebut merebak menimpa keluarga saya. Dia terlupa saya ada ahli keluarga. Seperti orang lain, saya punya adik beradik dan ibu bapa. Maka bapa saya seorang aktivis parti pembangkang sering menjadi sasaran kecaman teman-temannya. Ibu saya juga begitu. Juga adik saya yang tidak tahu menahu apa-apa.

Lama sebelum Dr Asri menuduh saya seorang syiah. Saya sudah membaca buku-buku karangan Za'ba yang meminta kita membebaskan diri dari mazhab (Insya-Allah dalam sebuah seminar di sebuah IPT awam pertengahan November ini saya akan membentangkan makalah mengenainya). Buku-buku za'ba tersebut terbitan DBP. Dan saya memuliakan Zaba seperti mana saya memuliakan karya-karya Malek Ben Nabi dan Ali Syariati.
Sayang, saya dituduh dan tidak diberi peluang membela diri.

Ketika tuduhan itu dibuat, dan saya menonton klip video Dr Asri menuduh saya secara semberono, terlintas di hati saya, ya; satu lintasan hati supaya satu hari nanti Dr Asri dapat mengecap dan merasai apa yang saya rasai waktu itu. Tetapi ada suara lain memadam lintasan hati tersebut dengan mengatakan, tidak mungkin beliau akan merasa apa yang saya rasa kerana beliau seorang tokoh besar, ada pengikut dan dokongan institusi. Beliau dipuncak populariti dan kuasa.

Tidak pernah dalam sejarah kesusasteraan tanahair seorang mufti menuduh karya seorang sasterawan sebagai 'sesat'. Saya merasa itu semua. Jika saudara tidak merasa ia tidak serius tidak apa. Tetapi saya sempat merasa hidup dipandang serong oleh orang kerana yang "menfatwakan saya sesat" bukan calang-calang orang. Ada karya saya yang menang hadiah ditarik balik kerana tuduhan ini. Dan saya seorang diri. Tiada Pena. Tiada Gapena. Tiada Kelab MPR. Tiada kawan-kawan di DBP, termasuk yang mengaku kawan sampai mati di Bahagian Majalah. Tiada. Nihil.

Hari ini, ketika saya bangun pagi, setelah pulang dari bercuti melangsungkan perkahwinan; saya membaca berita-berita Dr Asri mempertahankan dirinya bukan wahabi, isu perlantikannya di YADIM, dan paling menggemparkan berita penahanan beliau oleh pegawai JAIS

Entah mengapa saya terkenang semula lintasan hati saya lama dulu. Dan saya membuka semula klip video tersebut. Menontonnya beberapa kali. Dan lintasan hati saya yang pernah disertai selawat itu dahulu kembali muncul terjelma dalam benak dan jiwa saya.

Saya tidak mahu mengatakan saya gembira terhadap apa yang menimpa Dr Asri. Beliau pernah menjadi naqib usrah saya di KISAS. Banyak ilmu yang saya perolehi daripada beliau. Tetapi ketidakadilan vonnis in absentia yang menimpa saya kini menjadi kitaran buat beliau.

Saya ingin menegaskan, saya membantah sebarang usaha mengharamkan satu-satu aliran yang tidak terkeluar dari al-Quran dan sunnah. Baik ia wahabi, salafi, syiah ataupun tarekat yang benar. Setiap aliran tersebut adalah gagasan. Ia adalah teori. Setiap sekolah pemikiran tidak boleh diharamkan dan dihalang sedemikian rupa. Ia hanya boleh dilawan dan dibantah dengan teori dan gagasan lain pula. Ia mesti diperdebatkan secara akademia. Jika ia (aliran tersebut) ditakdirkan 'kalah' maka ia akan mati dan luput begitu sahaja seperti yang telah menimpa sekolah pemikiran Muktazilah, Jabariyyah, Qadiriyyah dan Ibadi. Jadi, saya ingin mengatakan saya tidak seronok dengan apa yang menimpa Dr Asri hari ini. Ia adalah petanda buruk untuk perbahasan ilmu yang sihat.

Saya keseorangan ketika Dr Asri menuduh saya tanpa bukti satu masa dahulu. Beliau lebih bernasib baik, dibela oleh Perdana Menteri dan sekian ramai ahli politik serta kumpulan NGO (termasuk pendokong Islam Liberal seperti Marina Mahathir: lihat sini).

Saya cuma ingin mengatakan dalam entri ini tentang lintasan hati. Saya tidak pernah terfikir lintasan hati diiring selawat tersebut akan menjadi kenyataan. Dan saat itu jugalah saya kian percaya, buat kesekian kalinya; bahawa Allah Maha Adil.

Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Melayu kerja Gomen?

Kullu Man Fil Kauni

Qasidah: Ayyuhal Mushtaq/Ya Ilahal Kawni