Sidi Oraza


Sidi Oraza Kini Usahawan





Bekas pengarah, pelakon tinggal dunia glamor mulakan perniaggan baja kimia, organik



BERBEKALKAN modal RM6,000 pemberian ibunya, Allahyarhamah Syarifah Zarojarn Syed Azgkhar hasil penjualan rumah mereka, bekas pengarah dan pelakon terkenal sekitar 1990-an, Sidi Oraza memulakan perniagaan mengeluarkan dan memasarkan baja kimia dan organik.

Perniagaan yang dimulakan Sidi atau nama sebenarnya, Syed Osman Syed Rastan, 43, menerusi syarikat yang ditubuhkannya sejak 10 tahun lalu, iaitu Diversatech (M) Sdn Bhd, terus berkembang dengan pasaran bukan saja di Malaysia malah luar negara seperti Indonesia dan di Asia Barat.

Namun, beliau yang memegang jawatan Pengerusi Eksekutif Diversatech mengakui terpaksa melalui pelbagai ranjau sebelum mengecapi apa yang ada sekarang, terutama ketika kegawatan ekonomi sekitar pertengahan 1990-an.

Bagaimanapun, berpegang kepada prinsip 'usaha adalah tangga kejayaan' dan sentiasa ingat kepada Allah membolehkan beliau mengharungi semua ranjau itu.

Sidi berkata, idea untuk beliau menceburi bidang perniagaan tercetus selepas pulang dari China.

"Tujuan ke China untuk belajar berniaga. Tetapi saya tidak dapat ilmu berniaga, cuma dapat ilmu macam mana rakyat negara itu boleh berjaya dalam perniagaan.

"Antaranya ialah mereka makan, jalan dan berfikir dengan cepat, justeru apa saja boleh jadi. Malah hasil kerajinan dan kegigihan, Tembok Besar Cina dapat mereka bina.

"Kegawatan ekonomi sekitar 1997 dan 1998 juga benar-benar menguji kekuatan saya. Ketika itu saya sudah tidak berlakon, bayangkan daripada hidup mewah dengan kereta besar, saya terpaksa berjalan kaki atau menaiki kenderaan awam.
"Pernah saya hanya ada RM1 dalam poket, saya terpaksa memilih sama ada mahu beli makanan atau naik bas pulang ke rumah di Ampang Jaya dari Zoo Negara. Saya ambil keputusan untuk jalan kaki bagi menjimatkan duit untuk makan.

"Turun naik kenderaan awam bersama isteri dan anak yang masih kecil juga adalah perkara biasa sehingga apabila terjumpa peminat dan mereka bertanyakan mengapa saya menaiki LRT, saya beritahu yang saya sedang membuat kajian untuk filem baru, padahal ketika itu saya tiada kereta," katanya sambil ketawa.

Katanya, dorongan abangnya, Prof Madya Dr Syed Omar yang juga pakar dalam bidang pertanian membuka telah laluan untuk menceburi bidang pengilangan dan pemasaran baja.

"Nak cerita betapa susahnya masa mula-mula membuka kilang baja ini, saya dan pasukan kerja menjual baja, tidur di kilang, buat promosi kepada petani. Dari awal hingga ke akhir semua buat sendiri. Alhamdulillah, hasil kerja keras pasukan kerja syarikat ini berbaloi," katanya.

Beliau turut melahirkan kesyukuran mempunyai pasukan kerja yang rajin, tekun dan setia dengan syarikatnya sejak mula ditubuhkan.

"Memang tidak dinafikan setiap perniagaan pasti banyak ujian yang mendatang. Rujukan saya hanya kepada Allah. Setiap kali ditimpa masalah, saya akan solat hajat dua rakaat, Insya Allah, masalah yang dihadapi dapat diselesaikan," katanya.

Bermula dengan satu produk baja dedaun dikenali sebagai Vita Grow Plus, kini Diversatech yang mempunyai kilang untuk memproses dan mengeluarkan baja di Semenyih sudah mengeluar dan memasarkan enam produk.

Malah, syarikat itu turut menubuhkan tiga anak syarikat pemasaran iaitu Peladang Tech (M) Sdn Bhd, Perintis Pelangi dan SPPM Diversa Sdn Bhd.

Diversatech turut diberikan pelesenan ekslusif menghasilkan dan memasarkan dua produk pertanian hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia iaitu Vita Grow dan Zappa.

Menerusi pelesenan itu, Dr Syed Omar dan Prof Madya Dr Ahmad Husni Mohd Haniff, iaitu penyelidik produk berkenaan dilantik sebagai penasihat teknikal, selain memegang ekuiti dalam syarikat berkenaan.

Enam produk syarikat itu ialah Zappa Plus, bahan rawatan benih padi yang dirumus bagi menggalakkan kecergasan anak padi dan bertindak sebagai perisai terhadap serangan kulat serta penyakit.

Baja organik Jitu pula dihasilkan bagi memperbaiki kesuburan dan struktur tanah, manakala baja Dammar bagi memberi ketahanan pada pokok padi daripada serangan siput gondang mas.

Baja padi NPK, Mampan pula mampu membantu tanaman mendapat hasil yang maksimum dan baja Robust berfungsi meningkatkan kekebalan pokok secara semula jadi daripada serangan kulat seperti hawar seludang serta karah.

Produk baja Ajib yang dihasilkan menerusi teknologi dari Jerman pula mempunyai enzim aktif dan mikro nutrien lengkap dalam bentuk terlarut, yang diperbuat khusus untuk menampung kekurangan dan mencapai keseimbangan zat makanan dalam tanah tropika untuk tanaman kelapa sawit.

Sidi berkata, beliau menerima tawaran menjual syarikatnya sejak dari tahun pertama membuka kilang baja lagi, tetapi menolaknya kerana tujuannya bukan untuk meraih keuntungan mudah.

"Ketika itu, kilang kami masih menggunakan tangan membancuh baja, tanpa sebarang peralatan moden. Kalau gelap mata, memang lama sudah menerima tawaran itu. Tetapi bagi saya menceburi bidang perniagaan bukan hanya memburu keuntungan.

"Saya berniaga bukan untuk diri sendiri tetapi untuk beri balik apa yang kami dapat kepada masyarakat terutama golongan sasar iaitu petani dan peladang," katanya yang dikurniakan empat cahaya mata berusia antara dua hingga 12 tahun hasil perkahwinan dengan bekas pelakon drama, Tengku Ismawati Badrulzaman.

Sidi berkata, bidang yang diceburi kini jauh berbeza dengan lakonan kerana menerusi perniagaan itu beliau dapat merapati golongan petani dan peladang.

"Syarikat ini bukan saja mengilang dan mengeluarkan baja, tetapi turut memasarkan dan turun padang mengajar petani cara penggunaan dan mengadakan pemantauan. Kajian dan penyelidikan secara berterusan dijalankan bagi memastikan hasil tanaman meningkat,

Bagi memastikan penyelidikan yang berterusan yang sekali gus dapat menghasilkan produk bermutu tinggi, Diversatech yang berpegang kepada slogan 'Kami Membantu Petani Menyediakan makanan Dunia', kini mempunyai 75 kakitangan termasuk tujuh ahli sains dari dalam dan luar negara dalam bidang berkenaan.

Sidi berkata, syarikatnya banyak mendapat sokongan daripada agensi agensi di bawah Kementerian Pertanian seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Mardi dalam usaha memasarkan produk syarikat itu.

Malah, katanya, produk keluaran syarikat itu turut memenangi beberapa anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa antaranya Anugerah Reka Cipta dan Inovasi anjuran Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar bagi produk Vita Grow pada 2001, Anugerah Reka Cipta dan Inovasi UPM serta Anugerah Reka Cipta dan Inovasi Antarabangsa Geneva bagi produk Zappa pada 2002

Comments

Popular posts from this blog

[Khas Wanita] Gangguan Seksual Dan Apa Boleh Dilakukan Jika Menjadi Mangsa?

Apa itu subsidi?

Bagaimana cara untuk memandu Kereta Transmisi Manual. How to Drive a Manual Transmission Car