Penipuan Kerap Dalam Perniagaan, Kerjaya, Universiti & Sekolah : Awasinya

Oleh Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

Soalan
Assalamualaikum wrt wbh,

Al-fadhil ustaz, saya pernah memohon pekerjaan di sebuah syarikat dan syarikat menetapkan jika saya mempunyai sijil, maka gaji minimum yang akan saya terima adalah sebanyak RM xxxx, jika saya mempunyai pengalaman tapi tidak punyai sijil, gaji minimum bermula dari RM xxx , sekiranya saya tidak punyai kedua-duanya, gaji bermula dengan RM xxx.

Sya tiada sijil, tapi bolehkah saya meletakkan dalam resume saya pengalaman-pengalaman yang tidak pernah saya perolehi demi untuk memulakan kerja dengan gaji yang tinggi sedikit?.
Satu lagi, ada rakan-rakan saya yang membeli sijil-sijil sarjana muda dari ejen-ejen tertentu. Ia sememangnya keihatan asli, adakah ianyaa dibenarkan?

Al-Hulu

Jawapan


Saya kira jawapannya adalah cukup mudah untuk dijawab bagi pembaca web saya ini. Sudah tentu ia diharamkan oleh Islam kerana apa yang dilakukan adalah termasuk dalam bab penipuan.

Bentuk penipuan sememangnya amat banyak. Sebagai asas pengharaman Allah SWT berfirman :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Ertinya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu" ( An-Nisa : 29)

Harta yang diperolehi dari aktiviti penipuan adalah haram. Islam mengharamkan seluruh bentuk penipuan, baik dalam masalah jual-beli, mahupun dalam pelbagai jenis macam mu'amalah.

Seorang muslim dituntut untuk berlaku jujur dalam seluruh urusannya, Sebab keikhlasan dalam beragama, nilainya lebih tinggi daripada seluruh usaha duniawi.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

"Dua orang yang sedang melakukan jual-beli dibolehkan tawar-menawar selama belum berpisah; jika mereka itu berlaku jujur dan menjelaskan (ciri dagangannya), maka mereka akan diberi barakah dalam perdagangannya itu; tetapi jika mereka berdusta dan menyembunyikan (ciri dagangannya), barakah dagangannya itu akan dihapus." (Riwayat Bukhari)

Dan baginda juga bersabda:

"Tidak halal seseorang menjual suatu perdagangan, melainkan dia harus menjelaskan ciri perdagangannya itu; dan tidak halal seseorang yang mengetahuinya, melainkan dia harus menjelaskannya." (Riwayat Hakim dan Baihaqi)

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ مَرَّ على صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فيها فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فقال ما هذا يا صَاحِبَ الطَّعَامِ قال أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يا رَسُولَ اللَّهِ قال أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ الناس من غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Ertinya : "Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. pernah melalui seorang laki-laki yang sedang menjual makanan (biji-bijian). Baginda sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangannya ke dalam tempat makanan itu, apabila dilihatnya makanan itu nampak basah, maka bertanyalah beliau: Apa yang dilakukan oleh pemilik makanan ini? Ia menjawab: Kena hujan. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas, supaya orang lain mengetahuinya?! Sebab barangsiapa menipu kami, bukanlah dari golongan kami." (Riwayat Muslim, 1/99)

Antara penipuan dalam bentuk semasa adalah seperti berikut :-

1) Mengupah dan berpakat dengan rakan untuk membeli dan memuji barangan jualan sendiri di hadapan pelanggan, dengan niat untuk mempengaruhinya dan meyakinkan kebaikan barang yang dijual. Ia disebutkan pengharamannya di dalam hadis Nabi SAW :-

ولا تَنَاجَشُوا

Ertinya : dan janganlah kamu melakukan tipu helah naik harga jenis ‘najash'" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/752)

Menurut penafsiran Ibnu Abbas ‘Najash' adalah : "Engkau (berpakat) bayar harga barang itu lebih dari harga biasa, yang bukan sebenarnya, tetapi dengan tujuan supaya orang lain menirunya." Cara ini banyak digunakan untuk menipu orang lain. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Al-Qaradawi)

2) Membeli sijil universiti bagi menunjukkan diri berkelayakan tetapi sebenarnya hanya penipuan. Ada juga yang membeli gelaran ‘Dr' dan ‘Profesor' bagi mendapatkan keistimewaan dan kemulian tertentu di dalam masyarakat. Ia juga adalah haram secara sepakat ulama sudah tentu disebabkan 'penipuan'.

3) Mencipta jawatan-jawatan terentu di dalam ‘resume' bagi menunjukkan kononnya diri berpengalaman.


4) Mencipta dan meminda slip-slip gaji sendiri bertujuan untuk mendapat gaji yang diinginkan dari majikan baru.

5) Meminta orang lain membuatkan karangan atau apa juga tulisan yang diperlukan untuk mendapatkan sesuatu kerja. Ia satu penipuan kerana syarikat ingin melihat kemampuan sebenar kita dan bukannya orang lain. Ramai yang suka melakukan tindakan ini, lebih malang lagi, agak ramai cerdik pandai memberikan bantuan kepada orang sebegini sedangkan ia adalah satu tindakan yang diharamkan oleh Islam kerana ia termasuk kategori membantu sesuatu penipuan. Lama kelamaan, rakan yang dibantu akan sentiasa mundur dan tidak berkembang kerana asyik mengharapkan kita membantunya.

Saya faham, bahawa adakalanya sukar untuk menolak kerana yang meminta bantuan adalah rakan baik kita atau adik beradik kita, tapi sedarlah tiada alasan untuk membantu penipuan ini. Jika yang dibantu itu berjaya kelak, pihak majikan merasa kecewa dan tetipu kerana prestasinya tidak sebagaimana tulisannya.


6) Mengupah orang untuk menyiapkan tesis MA atau Phd untuk kita. Ia juga satu bentuk penipuan yang memberikan kesan kepada seluruh pendapatan hasil penipuan itu. Selain orang yang mengupah, orang yang bersedia untuk diupah dan menjalankan khidmat ‘tolong buat' ini juga dikira menipu dan pendapatannya adalah haram kerana membantu kepada perbuataan dosa.

7) Bagi para pensyarah universiti pula, meniru karya orang lain dalam kajian ilmiah tanpa menyebut nama dan buku rujukan adlaah satu jenis penipuan. Ia tidak dianggap satu penipuan jika ditulis oleh orang awam biasa kerana ia tidak bertujuan mendapat pengiktirafan akademik. Walaubagaimanapun penulisan oleh ahli akademik pada lazimnya dinilai sebagai satu bentuk 'prestasi peribadi' oleh pihak universiti, ia juga membolehkannya mendapat kenaikan pangkat serta gaji setelah mendapat merit tertentu dari ‘hasil kajian' mendalamnya. Justeru, jika hasil ini adalah hasil ciplak yang dibuat secara pintar serta berpura-pura kononnya itu adalah hasil buah fikriannya yang bijak sedangkan ia bukan darinya, ia juga adalah suatu penipuan yang diharamkan.

8) Mencipta testimoni yang mengakui kehebatan program yang dikendalikan atau barang yang dijual, sedangkan ia hanyalah rekaaan sendiri sahaja. Mungkin ramai akan terpengaruh hasil testimoni yang begitu hebat tadi padahal ianya hanyalah tiruan. Ketika itu, perniagaan orang ini menjadi hilang berkat dan haram pendapatannya.
9) Membodek para pensyarah universiti agar memberikan markah ‘kasihan' untuk lulus. Jika terdapat sebab musabbab yang utuh untuk pemberian markah maka ia mungkin menjadi harus dan halal, walaubagaimanapun tetapi jika ia diberikan tanpa hak dan justifikasi yang boleh diterima Islam. Para pensyarah ini bakal menanggung tanggungjawab besar di akhirat kelak. Ini kerana, sijil yang dimiliki dianggap mewakili tahap kecekapan ilmu, kemampuan kajian dan minda seseorang dalam sesuatu bidang khususnya, jika pencapaian sijil itu dilakukan dengan ‘soalan bocor', ‘curi soalan' dan markah tanpa hak. Maka ia tidak layak memegang sijil itu, jika ia perolehi sijil itu. Semua orang kelilingnya akan tertipu dengan sijilnya itu, ia juga mungkin menyesatkan orang dengan sijilnya tadi. Awas.

10) Pensyarah yang membocorkan soalan dengan sengaja. Menurut kefahaman saya, ujian dan peperiksaan adalah sebuah ujian kemampuan pelajar dan ujian juga buat pensyarah yang mengajar, iaitu untuk melihat sejauh mana keberkesanan pengajarannya. Oleh itu, tidak dinafikan terdapat pensyarah yang bimbang peratusan gagal di kelas bimbingannya terlalu teruk, maka ia memberikan ‘soalan bocor' , dengan itu, tahap lulus akan meingkat dan kelihatan ia pandai mengajar. Ia juga satu bentuk penipuan yang banayak berlaku samada di univeristi mahupun di sekolah. Semuanya adalah haram tanpa syak lagi.

11) Mencipta statistic palsu untuk menyokong kajian dan dakwaan yang dibuat, Jika ia digunakan untuk sebarang tujuan komersial dengan upah profesional, ia adalah pendapatan haram. Jika ia dilakukan untuk menarik kepercayaan orang kepada apa yang diungkapkan, ia juga adalah satu penipuan. Saya kerap mendengar, para motivator berkata : "Menurut kajian saya, begini...." Kita berharap ia adalah kajian sebenar dan bukan satu dua kes yang dijumpainya.


Ibnu Sirin pernah menjual seekor kambing, kemudian dia berkata kepada si pembelinya: 'Saya akan menjelaskan kepadamu tentang ciri kambingku ini, iaitu kakinya cacat.'

Begitu juga al-Hassan bin Shaleh pernah menjual seorang hamba perempuan (jariyah), kemudian ia berkata kepada si pembelinya: "Dia pernah mengeluarkan darah dari hidungnya satu kali."

Walaupun hanya sekali, tetapi 'jiwa seorang mu'min merasa tidak enak kalau tidak menyebutkan cacatnya itu, sekalipun berakibat menurunnya harga.

Justeru, eloklah kita berfikir kembali pendapatan kita, samada ia halal atau haram. Kerjaya kita samada ia datang dengan sijil dan jawatan palsu atau benar.

Ke Kubur Juga Akhirnya


Kekayaan, pangkat dan kebesaran yang dikecapi adalah sementara sahaja, amat jaranag kenikmatan semenatar ini mampu dikecapi melebihi 60 tahun. Justeru, mengapakah kita masih lagi terlalu ghairah untuk mengumpulkannya tanpa mengira haramnya. Malangnya diri yang terlupa kematiannya penamat segala kenikmatan dunia. Justeru carilah harta dari yang HALAL sahaja.

Nabi SAW bersabda :-

أكثروا ذكر هاذم اللذات الموت
Ertinya : "Perbanyakkanlah ingatan kepada pemutus segala nikmat (dunia) iaitu MAUT" ( At-Tirmidzi, 4/553 ; Ibn Hibban, 7/259 ; Imam Tirmidzi : Hadith Hasan Ghorib)

Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman

Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Melayu kerja Gomen?

Kullu Man Fil Kauni

Qasidah: Ayyuhal Mushtaq/Ya Ilahal Kawni