Ayyuhal Walad


Nasihat dari Imam Al-Ghazali R.A

MUQADDIMAH NASIHAT

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين 

Wahai anakku yang tercinta dan kekasih yang mulia, semoga Allah Taala memanjangkan umurmu dalam berbuat taat kepadaNya dan semoga Allah Taala memudahkan bagimu untuk mengikuti jalan para kekasihNya.


Ketahuilah olehmu bahawasanya apa jua cabang nasihat itu adalah berasal daripada sumber kenabian (maksudnya hadis Rasulullah s.a.w.). Oleh kerana itu, apabila telah sampai kepadamu suatu nasihat yang berpunca daripada sumber ini maka apa perlunya lagi engkau kepada nasihat saya. Dan apabila masih belum sampai kepadamu suatu nasihat daripada sumber ini maka sebenarnya ilmu apa yang telah engkau pelajari selama ini?



NASIHAT PERTAMA
Waktu Itu Ialah Kehidupan

Wahai anakku yang tercinta;

Sebahagian daripada nasihat Rasulullah s.a.w. kepada umatnya ialah:

عَلاَمَةُ اِعْرَاضِ اللهِ تَعَالَى عَنِ الْعَبْدِ، اشْتِغَالُهُ بِمَا لاَ يَعْنِيهِ، وَ اَنﱠ امْرَأً ذَهَبَتْ سَاعَةٌ مَنْ عُمُرِهِ، في غَيرِ مَا خُلِقَ لَهُ مِنَ الْعِبَادَةِ، لَجَدِيرٌ اَنْ تَطُولَ عَلَيْهِ حَسْرَتُهُ، وَ مَنْ جَاوَزَ اَلأرْبَعِينَ وَلَمْ يَغْلِبْ خَيْرُهُ عَلَى شَرﱢهِ فَلْيَتَجَهَّزْ إِلَى النَّارِ

Ertinya: "Adalah dikira sebagai berpalingnya Allah Taala daripada seseorang hamba apabila ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu saat sahaja daripada umurnya yang telah digunakan pada barang yang bukan merupakan tujuan hidupnya (iaitu beribadat kepada Allah) maka layaklah bahawa akan panjang penyesalannya (pada hari kiamat nanti) dan siapa yang umurnya lebih empat puluh tahun sedangkan kebaikannya masih belum dapat melebihi kejahatannya maka layaklah ia mempersiapkan dirinya untuk memasuki api neraka".

Sebenarnya sekadar ini sudah cukup untuk menjadi nasihay kepada semua orang yang berilmu.


NASIHAT KEDUA
Bagaimana Sepatutnya Kita Menerima Nasihat


Wahai anakku yang tercinta;

Memberi nasihat itu sebenarnya mudah sahaja dan yang berat ialah menerima isi nasihat tersebut kerana setiap nasihat itu dirasakan tersangat pahit bagi siapa yang selalu mengikuti kehendak hawa nafsunya. Nafsu sangat mencintai perkara-perkara yang dilarang apatah lagi bagi orang yang mencari ilmu yang rasmi (maksudnya mencari ilmu supaya mendapat sesuatu gelaran rasmi) serta sentiasa sibuk untuk menonjolkan kehebatan diri dan menghimpunkan kesenangan dunia, kerana orang yang seperti ini biasanya menganggap bahawa hanya dengan sekadar memperolehi ilmu itu sudah cukup menjadi sebab keselamatannya dan sebab kebahagiaannya maka ia tidak perlu beramal dengan ilmu yang dipelajarinya itu. Orang yang seperti ini sebenarnya telah terpengaruh dengan i'tiqad dan aliran pemikiran falsafah¹. Subhanallah, alangkah kelirunya pemikiran yang seperti ini. Bukankah ia telah mengetahui bahawasanya seseorang itu apabila telah dapat menghasilkan ilmu kemudian ia tidak beramal dengan ilmu yang telah diketahuinya itu, nanti pada hari kiamat ia akan disoal dengan soalan yang lebih berat daripada orang yang tidak mengetahui apa-apa. Seperti apa yang telah disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.:
 
"اَشَدُّ النَّاسِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ، عَالِمٌ لاَ يَنْفَعُهُ اللهُ بِعِلْمِهِ"

Ertinya: Orang yang paling pedih seksaannya pada hari kiamat nanti ialah seorang alimyang tidak memberi manfaat akan diaoleh Allah dengan ilmunya.


Dan diriwayatkan daripada Imam Al-Junaib Al-Baghdadi Qaddasallahu Sirrahu bahawa beliau ada seorang yang telah bermimpi dengan beliau di waktu tidur selepas kematian beliau. Lalu orang ini bertanya kepada Imam Al-Junaib Al-Baghdadi dengan katanya: Apa khabar kamu wahai Abu Al-Qasim (Al-Junaidi Al-Baghdadi). Lalu Imam Al-Junaib Al-Baghdadi menjawab: Sebenarnya telah hilang segala ilmu yang zahir dan juga telah hilang ilmu yang batin. Dan tidak ada lagi yang bermanfaat kecuali hanya beberapa rakaat yang sempat kami lakukan di tengah malam.
 
*(¹) Yang dimaksudkan ahli falsafah ini boleh diertikan dengan orang yang fahaman sekular di zaman sekarang (penterjemah)




NASIHAT KETIGA
Ilmu Itu Tidak Bermanfaat Kecuali Bila Sudah Diamalkan 


Wahai anakku yang tercinta;


Janganlah engkau jadi orang yang muflis pada amalnya dan janganlah engkau jadikan dirimu itu kosong daripada perkara yang berfaedah dan yakinlah bahawasanya semata-mata ilmu itu belum dapat menjamin keselamatanmu di akhirat kelak.


Umpamanya: Kalau seseorang ada memiliki sepuluh bilah pedang yang sangat tajam dan juga bermacam-macam senjata yang lain dan dia pula adalah seorang yang berani dan sangat cekap dalam peperangan, lalu datang seekor singa yang garang dan terus menyerangnya. Maka apa pendapatmu, apakah semata-mata memiliki segala senjata tadi tanpa menggunakannya sudah cukup untuk menangkis serangan singa itu? Sudah tentu tidak. Segala senjata itu baru bermanfaat apabila ia digunakan oleh tuan empunya senjata itu. Maka begitulah keadaan seseorang yang telah mengetahui ratusan ilmu tetapi ia tidak beramal dengannya, maka segala ilmunya tidak akan bermanfaat kecuali setelah diamalkan. Sama pula keadaannya dengan seorang yang diserang sakit demam panas dan sakit kuning yang biasanya ia dinasihatkan meminum ubat sekanjabin dan kaskab¹ maka tidak akan hasil sembuhnya kecuali dengan meminum ubat tersebut.

*(¹) Sejenis ubat-ubatan yang merupakan campuran daripada cuka dan madu atau apa jua yang manis dicampurkan dengan yang masam 


Dalam hal ini disebutkan suatu syair dalam bahasa Parsi:

 كرمى دو هزار رطل همى بيماىٔي تامى نخورى نباشدت شيداىٔي

Ertinya: Seandainya engkau menimbang dua ribu kati arak, maka engkau tidak akan mabuk sehingga bila engkau meminumnya.

Jadi jika engkau belajar ilmu seratus tahun lamanya dan engkau menghimpunkan seribu buah kitab maka engkau masih belum layak mendapat rahmatt Allah Taala kecuali dengan mengamalkan ilmu ini. 


Allah Taala telah berfirman:


وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَٰنِ إِلاَّ مَا سَعَىٰ

surah An-Najm: 39

Maksudnya: Dan sesungguhnya manusia itu tidak akan mendapat sesuatu, kecuali apa yang diusahakannya.

Dan firmanNya lagi:

فَمَن كَانَ يَرْجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِ ۧ  فَلْيَعْمَلْ عَمَلاً صَٰلِحًا

surah Al-Kahfi: 110

Maksudnya: Maka sesiapa yang mengharap akan bertemu Tuhannya, maka hendaklah ia beramal akan amalan yang salih.

Dan firmanNya lagi:

جَزَآءَ ۢبِمَا كَانُواْ يَكْسبُونَ
 
surah At-Taubah: 82

Maksudnya: (Balasan yang diberikan kepada mereka itu) adalah sebagai bagi amal yang telah mereka lakukan.

Dan firmanNya lagi:


إِنَّ الَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ الصَّٰلِحَٰتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّٰتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلاً۝خَٰلِدِينَ فِيهَا لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلًا۝

surah Al-Kahfi: 107-108

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal salih adalah syurga "Jannatul Firdaus" itu sebagai tempat tinggal mereka. Mereka kekal di dalamnya dan mereka sudah tidak mahu mencari tempat yang lain daripadanya sebagai ganti.

Dan firmanNya lagi:

إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَٰلِحًا

surah Al-Furqan: 70 

Maksudnya: Kecuali (ertinya tidak masuk neraka) orang yang bertaubat dan beriman serta beramal yang salih

Apabila engkau tidak beramal dengan ilmu maka apa jawapanmu terhadap hadis di bawah ini: 

بني الإسلام على خمس: شهادة أن لا إله إلا الله، وأنّ محمدا رسول الله، واقام الصلاة وإيتاء الزكاة، وصوم رمضان، وحج البيت لمناستطاع اليه سبيلا
Maksudnya: Islam itu diasaskan atas lima perkara: Penyaksian bahawa tidak ada Tuhan kecuali hanya Allah dan bahawa Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, mengerjakan haji ke Baitullah bagi mereka yang mampu pergi ke sana.

Maka iman itu ialah perkataan dengan lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota.

Dan dalil yang menuntut kita supaya beramal itu sangat banyak sekali sehingga tidak dapat dihitung banyaknya. Walaupun seorang hamba itu akan masuk syurga hanya dengan rahmat dan kemurahan Allah Taala, namun rahmat dan kemurahan ini didapatkan setelah seseorang hamba itu mempersiapkan diri dengan ketaatan dan ibadat, kerana rahmat Allah itu dekat kepada hamba-hambaNya yang berbuat baik.

Seandainya ada orang berkata:
Masuk syurga itu hanya dengan semata-mata beriman¹.

*(¹) Inilah i'tiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Maka kami menjawab:
Memang begitu, tetapi bilakah seseorang itu dapat sampai ke sana dengan selamat (masuk syurga) dan berapa banyak halangan dan dugaan yang besar-besar yang mesti dilaluinya sebelum sampai ke sana.

Maka dugaan yang pertama yang mesti dilaluinya ialah dugaan iman itu sendiri, apakah ia pasti selamat daripada tercabar iman sehingga ke akhir hayatnya. Dan apabila ia telah mati dalam keadaan beriman, maka apakah telah pasti pula bahawa ia tidak akan muflis atau rugi.

Dan berkata Imam Hasan Al-Basri rahimahullahu taala:
Allah Taala berfirman kepada hamba-hambaNya pada hari kiamat nanti: "Masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmatKu, dan tentukan kedudukan kamu masing-masing mengikuti amalan kamu".

Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Melayu kerja Gomen?

Kullu Man Fil Kauni

Qasidah: Ayyuhal Mushtaq/Ya Ilahal Kawni