Aku suka cerpen ini..:)



Nanti...

"Akan ada. Nanti."

Kata Laila yang terus sahaja melurut-lurut skrin telefonnya. 

Hati Nad yang sejak tadi tidak mahu diam-diam daripada memikirkan hal itu, menjadi semakin tidak keruan. Jawapan Laila terlalu pendek, untuk soalan yang membabitkan masa hadapan.

"Itu je?" 

"Ya. Cuma itu. Selebihnya kau buat seperti aku."

"Seperti apa?" Nad terus memerhati Laila yang sibuk dengan telefonnya. Seperti ada rasa yang mahu ditumpahkan pada telefon itu. Mungkin rasa yang sudah lama tergantung dalam hati.

"Main game."

"Main game? Aku tanya soal jodoh, kau suruh aku main game?"

"Mengapa terkejut? Kau terkejut sebab, sebenarnya dalam hati kau sudah ada jawapannya. Kau tahu untuk hal jodoh itu adalah rahsia Tuhan. Kau juga sudah tahu, untuk perempuan seperti kita yang malu-malu ini, usaha mencari jodoh yang baik itu, 50 peratus malu, 50 peratus doa, yang semuanya bererti kita hanya mampu berkata-kata, dan berharap-harap dalam hati. Paling utama, kau juga tahu, usaha mencari jodoh yang baik itu, adalah bererti berusaha menjadi perempuan yang baik. Kau tahu semuanya, dan kau masih mahu bertanya. Mengapa?"

Nad diam. Laila menyambung.

"Kerana kau takut, malu kau itu terlalu berlebihan, dan kau sangat takut doa kau tidak dimakbulkan. Kau perlu ingat, semakin perempuan itu malu, semakin jelas mereka pada mata lelaki yang baik. Semakin takut doa kau tidak dimakbulkan, semakin banyak kau berdoa. Jadi, teruslah begitu. InsyaAllah kita akan dipertemukan dengan apa yang terbaik untuk kita."

Lalu Laila terus-terusan melurut skrin telefon, dan Nad pula mula melurut-lurut hatinya.

Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Melayu kerja Gomen?

Kullu Man Fil Kauni

Qasidah: Ayyuhal Mushtaq/Ya Ilahal Kawni