Sejarah anak selangor..


Berita ini saya paste from Malaysiakini..sebagai bahan sejarah untuk anak-anak selangor, sejarah yang akan mengajar kita untuk mengkaji apa yang dinamakan kompromi politik..bukalah minda kita untuk menjadi rausyan fikir.

S'gor muktamad perjanjian air dengan Pusat


Kerajaan Selangor hari ini memeterai Perjanjian Utama pengambilalihan perkhidmatan air dengan kerajaan pusat di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di Putrajaya pagi ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah yang mewakili kerajaan persekutuan, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang mewakili kerajaan Selangor manakala Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) diwakili Ketua Pegawai
Eksekutif Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Suhaimi Kamaralzaman.
 
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

"Perjanjian ini juga telah membuka lembaran baru bagi perkhidmatan industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila syarikat milik penuh rakyat Selangor iaitu Air Selangor Sdn Bhd akan membawa perkhidmatan bekalan air ke tahap yang lebih profesional dan efisien," kata Khalid.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor menandatangani Perjanjian Dasar Induk berhubung penstrukturan semula industri air dan penyelesaian jangka panjang isu air di Selangor dengan tawaran pengambilalihan bernilai RM 9.65 bilion.

Dalam kenyataannya hari ini, Khalid berkata perjanjian itu telah dimuktamadkan dengan kos pengambialihan penstrukturan semula industri air lebih rendah dari tawaran awal iaitu RM7.45 bilion berbanding RM9.65 billion.

Menurutnya lagi, Syarikat Air Selangor Sdn Bhd akan diuruskan sekumpulan pasukan yang pakar dan pengalaman untuk memastikan perkhidmatan bekalan air ke tahap yang lebih profesional dan efisien.

Khalid berkata beliau yakin kumpulan itu boleh menjadikan industri itu lebih holistik dengan mengambilalih operasi, penyelengaraan loji rawatan air dan perkhidmatan pembekalan air daripada empat syarikat konsesi yang berbeza sebelum ini.

"Pengurusan tidak holistik sebelum ini menyumbang kepada pengurusan air tidak cekap dan kos operasi yang membebankan pengguna melalui kenaikan tarif yang tinggi kepada lebih RM5 juta pengguna di Selangor, KL dan Putrajaya.

"Air Selangor Sdn Bhd akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja menaik taraf saluran paip air dengan tujuan menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) yang pada ketika ini sangat tinggi iaitu 34 peratus serta meningkatkan kapasiti loji-loji tersebut dengan menggunapakai teknologi terkini," katanya.

Menurutnya lagi, semua aset air akan diletakkan bawah Air Selangor Sdn Bhd manakala Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL 2) yang bakal siap dalam beberapa tahun lagi juga akan dikendali oleh syarikat itu.

Sambil menyifatkan perjanjian itu sebagai satu kejayaan, Khalid berkata pihaknya berdepan pelbagai cabaran termasuk keputusan kerajaan negeri dipersoalkan namun pihaknya beriltizam menyelesaikan perjanjian itu.

"Sekali lagi saya tekankan kerjasama yang diperlihatkan kesemua pihak menunjukkan bahawa kepentingan rakyat mengatasi kepentingan dan ideologi politik.

"Kita percaya rakyat Selangor dan Malaysia amat menghargai usaha keras yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam menjayakan usaha ini," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ongkili berkata, dengan termeterainya perjanjian utama itu, kerajaan persekutuan yakin satu transformasi menyeluruh dapat dilaksanakan oleh Air
Selangor Sdn Bhd  yang akan menjadi nadi kepada perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mewujudkan industri perkhidmatan air yang efisien, berdaya maju dan mampan.
  
"Ini akan dilakukan melalui kaedah yang dapat menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat bagi membolehkan kerajaan negeri Selangor mencapai hasrat untuk menguruskan air secara holistik," katanya pada majlis menandatangani Perjanjian Utama itu di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
  
Ongkili berkata kerajaan persekutuan juga komited untuk menjadi pemudah cara bagi pengambilan Syarikat Pengeluar Air Sdn Bhd (SPLASH) oleh Air Selangor Sdn Bhd.
  
Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) akan terus dipantau melalui Jawatankuasa Khas Pelaksanaan Projek LRAL2 yang dipengerusikan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan menteri besar Selangor, katanya.
  
Menurutnya, semua pihak yang terlibat perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan persetujuan yang dicapai dapat dilaksanakan dengan lancar dengan mengetepikan perbezaan fahaman politik demi kepentingan dan kebajikan rakyat.
  
Meskipun proses itu mengambil masa yang panjang  sehingga kira-kira 15 bulan, namun kedua-dua pihak tetap komited dan percaya bahawa pertimbangan politik harus diketepikan demi mencapai matlamat itu, katanya.
  
"Kami telah menggunakan setiap prinsip standard bagi ketelusan, profesionalisme dalam semua perbincangan. Saya cukup yakin prinsip-prinsip dan ketetapan, yang akhirnya dapat diharungi, seperti mana terkandung dalam perjanjian utama ini," kata Ongkili.
  
Sebelum ini, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor telah menandatangani dua perjanjian iaitu Memorandum Persefahaman (Mou) pada 26 Februari dan Perjanjian Mengenai Persefahaman (HoA) pada 1 Ogos lalu.
  
Perjanjian Utama itu merangkumi perkara-perkara berikut:
  
(i) Air Selangor Sdn Bhd mengambil alih tiga buah syarikat konsesi air negeri Selangor iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) dan pemegang lesen perkhidmatan iaitu Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB).
  
(ii) Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) menyediakan peruntukan sebanyak RM1.68 bilion bagi memudah cara pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi iaitu SYABAS, PNSB dan ABASS oleh Air Selangor Sdn Bhd selaras dengan MoU dan HoA Air Selangor.  Sebagai balasan, kerajaan negeri Selangor akan memindah milik aset-aset air kepada PAAB secara pegangan pajakan selama 45 tahun dengan jumlah peruntukan yang sama.
  
(iii) PAAB akan mengambil alih liabiliti syarikat-syarikat konsesi dan pinjaman kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri Selangor, SYABAS dan PNSB yang dianggarkan berjumlah RM7.45 bilion. Sebagai balasannya, kerajaan negeri Selangor akan memindah milik aset-aset air kepada PAAB dengan jumlah yang sama secara pegangan pajakan selama 45 tahun.
  
(iv) PAAB akan memajakkan aset-aset air yang telah diambil alih kepada Pengurusan Air Selangor yang akan membayar sewa pajakan kepada PAAB pada kadar yang akan dirundingkan oleh kedua-dua pihak dan dimeterai melalui Perjanjian Kemudahan dan Perjanjian Pajakan.
  
(v) Air Selangor Sdn Bhd akan diberikan lesen perkhidmatan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air atau WSIA (Akta 655) bagi membolehkannya menjalankan aktiviti merawat dan mengagih air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
  
(vi) Air Selangor Sdn Bhd  juga akan diberikan lesen kemudahan di bawah WSIA bagi aset-aset air Selangor yang dipindah milik kepadanya oleh kerajaan negeri Selangor.
  
Dengan termeterai Perjanjian Utama itu, Air Selangor Sdn Bhd yang diurus oleh sekumpulan pasukan yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dan perkhidmatan air akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja menaik taraf saluran paip air dan menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) serta meningkatkan kapasiti loji-loji tersebut dengan mengguna pakai teknologi terkini.
  
Selain itu, semua aset air juga akan diletakkan di bawah Air Selangor Sdn Bhd dan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL 2).
  
Perjanjian Jual Beli Saham antara Air Selangor Sdn Bhd dan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) iaitu pemegang 70 peratus saham Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan 100 peratus saham Puncak Niaga Sdn Bhd akan dimeterai dalam tempoh terdekat.
  
Ongkili turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan memberi sokongan dalam menjayakan usaha penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air itu.
  
"Perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri telah meminta saya menyampaikan pesanan bahawa kerajaan pusat begitu senang hati kerana kita sampai ke tahap ini dan berterima kasih kepada Abdul Khalid dan Exco kerajaan negeri Selangor yang telah memberi kepercayaan dalam usaha selesaikan pengurusan dan bekalan air," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Melayu kerja Gomen?

Kullu Man Fil Kauni

Qasidah: Ayyuhal Mushtaq/Ya Ilahal Kawni