Minta pertolongan Allah dengan sabar dan solat

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRIIBN Jauzi di dalam tafsirnya Zad al-Masir berkata: Sebab turunnya ayat ini ialah orang musyrikin berkata; Muhammad akan pulang dan kembali kepada agama kita sebagaimana kembali kepada kiblat kita. Inilah juga pendapat Qatadah.Allah berfirman, Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah: 153)Firman Allah, Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang. Ibn `Abbas berkata: Minta tolonglah atas menuntut akhirat dengan kesabaran dalam menunaikan segala fardu dan dengan solat.Kita akan memperincikan dua jenis permohonan yang disebut oleh Allah iaitu kesabaran dan solat. Justeru akan diperincikan kedua-duanya. Pertama, kesabaran. Ia adalah ketetapan hati dalam menanggung kesukaran begitu juga dengan ujian dan tribulasi.Sabar merupakan seberat-berat amalan batin atas jasad. Sedangkan solat seberat-berat amalan zahir atasnya. Justeru dengan digabungkan dua perkara sudah pasti membawa kelebihan yang besar, sebagaimana kata Syeikh al-Maghari. Sebagai melengkapkan lagi perbincangan ini, dinukilkan dari buku La Tahzan (Jangan Bersedih) di bawah tajuk Jadikan Buah Lemon Itu Minuman Yang Manis. Antara lain katanya: Orang cerdik akan berusaha merubah kerugian menjadi keuntungan, sedangkan orang bodoh akan membuat sesuatu musibah menjadi bertompok dan berlipat ganda.Semasa Rasulullah s.a.w diusir dari Mekah, baginda memutuskan untuk mendiami Madinah dan kemudian berhasil membangunkannya menjadi sebuah kota tamadun yang sangat akrab di telinga dan mata sejarah. Ahmad bin Hanbal pernah dipenjara dan dihukum dera tetapi kerananya pula beliau menjadi imam salah satu mazhab. Ibn Taimiyah pernah dipenjara tetapi disanalah beliau banyak melahirkan karya yang agung.Al-Sarkhasi pernah dikurung di pelosok telaga bertahun-tahun tetapi tempat itulah beliau menggarap 20 jilid buku. Ketika Ibn al-Athir dipecat dari jawatannya, dia berjaya menghasilkan karya besarnya yang berjudul Jami’ al-Usul dan al-Nihayah, salah satu buku paling terkenal dalam ilmu hadis. Begitu juga dengan Ibn al-Jauzi yang pernah diasingkan di Baghdad dan kerana itu dia menguasai qiraah al-Sab`ah (bacaan al-Quran atas tujuh qiraat).Malik bin al-Gharib menderita dengan penyakit yang boleh membunuhnya namun dia mampu menggubah syair-syair yang sangat indah sehingga menandingi penyair besar zaman Abasiyah.Seterusnya begitulah ketika tertimpa sesuatu musibah anda seharusnya melihat sisi yang paling terang daripadanya ketika seseorang memberi anda segelas air lemon anda perlu menambah sesudu gula ke dalamnya. Ketika mendapat hadiah seekor ular dari seseorang ambil sahaja kulitnya yang mahal dan tinggalkan bahagian tubuhnya yang lain. Apabila disengat kala jengking ketahuilah bahawa sengatan itu sebenarnya memberi kekebalan kepada tubuh anda dengan bisa ular.Justeru kendalikan diri anda dalam pelbagai kesulitan yang dihadapi. Dengan itu anda dapat mempersembahkan bunga mawar dan melati yang harum kepada kami.*SolatKedua, solat. Ini kerana solat merupakan thiqah dengan Allah. Justeru pertolongan Allah pasti datang dengan sebab mengabdikan diri kepadanya dan inilah yang dilakukan oleh Rasulullah sehingga menjadikan solat cahaya mata dalam kehidupannya. Akhirnya dinaqalkan pendapat Sayid Qutub yang berkata: Kesabaran seringkali disebutkan di dalam al-Quran kerana Allah mengetahui betapa besarnya daya usaha yang gigih yang diperlukan oleh pendirian yang teguh dan jujur untuk mengikuti jalan Allah di tengah-tengah pelbagai godaan keinginan dan dorongan. Ia mememerlukan daya usaha yang gigih untuk perjuangan berdakwah kepada Allah di muka bumi ini.Mereka iaitu pendakwah dan penjuang memerlukan hati yang tenang, tenteram serta sentiasa bersiap siaga dan berwaspada menghadapi sebarang rintangan sama ada dalaman atau luaran.Kesabaran dan kegigihan itu diperlukan dalam semua bidang ini. Kesabaran untuk melaksanakan ketaatan-ketaatan dan menjauhi maksiat, kesabaran menentang penderhaka-penderhaka kepada Allah, kesabaran menghadapi aneka ragam tipu daya, kesabaran menunggu pertolongan yang lambat tiba.Kesabaran berjalan di jalan yang jauh, kesabaran menghadapi perkembangan kebatilan, kesabaran menghadapi kekurangan pembantu, kesabaran menjalani jalan berduri yang panjang, kesabaran menghadapi penyelewengan-penyelewengan manusia dan kesesatan mereka dan kesabaran menghadapi kedegilan yang berat dan penolakan yang pedih.Apabila mengambil masa yang terlalu lama dan berhadapan dengan usaha yang sukar, kadang-kadang kesabaran menjadi lemah atau terus hilang andainya di sana tidak ada bekalan yang baru. Oleh kerana itulah Allah gandingkan kesabaran dengan ibadat solat. Ini kerana ibadat solat merupakan sumber bekalan jiwa yang tidak pernah kering dan habis.Ia adalah sumber yang memulihkan tenaga dan memperbaharui bekalan kepada hati kerana itu ia dapat memanjangkan tali kesabaran dan menjadikannya tidak putus. Kemudian ia menokok kepada kesabaran itu kerelaan, kepuasan ketenteraman, kepercayaan dan keyakinan.Manusia yang fana’ lemah dan terbatas pasti mempunyai hubungan dengan kekuatan Ilahi yang agung di mana ia dapat mencari pertolongan apabila daya tenaga dan kemampuannya melewati batasnya. Apabila jalan perjuangan dirasa begitu lama dan jauh berbanding usianya yang terbatas kemudian ia melihat perjuangannya masih belum sampai ke mana-mana sedangkan hari sudah senja. Dia masih belum mencapai sesuatu kejayaan sedangkan matahari usianya hampir jatuh, juga apabila dia mendapat kejahatan berkembang subur dan kebaikan merosot dan terperosok di mana tiada cahaya kelihatan di ufuk dan tiada tanda di jalan.Di sini ketaralah dengan jelas nilai ibadat solat, ia merupakan hubungan secara langsung di antara manusia yang fana’ dengan kekuatan yang kekal abadi.

Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Melayu kerja Gomen?

Kullu Man Fil Kauni

Qasidah: Ayyuhal Mushtaq/Ya Ilahal Kawni