Along saya...

http://jalantelawi.com/2010/06/sabil/


sabil_major
Sabil!

Adakah ini muzik propaganda golongan fundamentalis Islam Malaysia untuk Fisabilillah?
Tidak.
Adakah ini album charity untuk merebut Rahmat dari Tuhan alam? Juga tidak.
Adakah ini album untuk mencuci dosa hambanya dari murka Tuhan manusia? Tidak.
Tajuk ini dari bahasa Arab, maknanya cukup besar untuk kita hayati. Barangkali seniman ini juga punya perjuangan dan impian yang sangat besar untuk dicapai. Dia mengajak kita untuk mendengar sesuatu yang bernilai dan penting–serius. Namun untuk bicara tentang album ‘serius’ ini jangan hendaknya kita terlalu serius, seolah-olah mendengar pesanan dari Nabi Nuh tentang bah atau khutbah dari khatib di mimbar, kita senyum-senyum saja. Album musik harus dapat menyenangkan hati dan harus kita mendengar dengan hati yang ingin berlibur.
Penyanyinya saudara Najmie, seorang qari, guru Quran, penterjemah dan ‘pemabok’ teh tarik. Aku mengenalinya secara peribadi. Baru-baru ini, aku menjemputnya kenduri di rumah aku, dia berzanji, kami sama-sama mendengarnya–sayu dan sangat menyenangkan. Kesayuan ini bukan dibuat-buat, ia lahir dari penghayatannya sendiri. Dia menguasai beberapa jenis bahar yang kini amat jarang dapat kita dengar dari seorang qari. Antaranya hijjaz, baiyati soba, nahwan, sikah, rast, jaharkah, rakbi, hairab dan banjakah. Sebilangan ini, aku sendiri tak pernah mendengar lagu dan namanya! Namun dalam ‘Sabil’ siapa dia (sama ada qari atau guru quran) tidak lagi boleh diambil kira untuk menilai mutu seninya. Sebagai qari, pastinya beliau mengaji mengikut hukum-hukum yang tetap, ekspresinya duduk di bawah hukum. Namun dalam nyanyian muzik kontemporari hukum duduk di antara ekspresinya, ia seiring. Kadangkala, ekspresinya menendang hukum itu jauh-jauh. Begitulah seni, berada di atas rasional fikir waras.
sabil_major2Album ini diterbitkan oleh temannya, Hakim Ramlee. Kesemua lima buah lagu dalam album ini juga dicipta oleh beliau. Dihasilkan dalam keadaan lingkungan produksi yang serba sederhana, sesuai dengan trend kini yang DIY. Memuatkan lagu Ibu, Aku, Nuansa, Ilahi, dan Has Bi Rabbi. Irama dalam ’sabil’ melankolik sekali, ia sealiran dengan irama benua Melayu. Empat buah lagu ’sabil’menggunakan skala (scale) melodik sebagai teras iramanya, skala harmonik tidak begitu dominan. Lenggok Irama Melayu ada sedikit dan kadangkala bersimpul bersama elemen Qasidah.  Elemen ini seakan fusion, tidak ada kelas-kelas irama yang menjadi dominan seperti mana tipikalnya penyanyi yang berlatarbelakangkan irama padang pasir. Bentuk muzik ’sabil’ juga tidak mengikut mana-mana bentuk muzik pop, penerbitnya cuba mengolah bentuk muzik ’sabil’ dengan perspektif yang berbeza. Jika kita dengar lagu Ilahi, intro lagu dengan korus, versa, unison dan coda dengan korus. Pemilihan instrumen secara umumnya baik dan sangat berserdahana, gitar menjadi ikon seperti mana album pop dan rock. Tidak hairan, lagu-lagu ’sabil’ yang bernada Nasyid diolah kembali dengan bunyi retro gitar. Jiwa penerbit dan penyanyinya bersatu di bawah lembayung zaman romantis 70-an.
Namun, Hakim dan Najmie mungkin ingin dilihat lebih kontemporari dan segar berbanding irama-irama celestial yang agak tipikal. Konsep ’sabil’ barangakali bukan dari genre-genre sedia ada. Kadang kala kedengaran pada beberapa rangkap lagu seakan puisi, ada bau-bau irama reggae (bayangkan nyanyian berbahasa arab dengan lenggok nyanyian gaya reggae), ada pop dan rock. Resipi rojak ini cuba dibentuk untuk menjadi Celestial Fusion. Ini sangat bertentangan dengan Sami Yusuf, seorang yang popular dengan ’muslim pop’ malah ’sabil’ bukan dalam kelas yang sama berbanding nasyid ala Malaysia. Jauh.
Artis seperti Sami Yusuf, seorang Iran. Beliau melahirkan ide muziknya dengan aliran tradisi muzik Iran tetapi menggunakan Irama (rhythm) Pop menerusi penggunaan synthysizer yang agak dominan seperti (antara contoh) dalam lagu ‘U Came To Me’. Irama ini melilit bersama lenggok nyanyian ekspresi Parsi, nyanyiannya seperti dalam suatu keadaan bermeditasi, asyik seperti juga Opik menerusi lagu-lagu dakwah dan sufinya. Haruman muzik sebegini juga meresap ke dalam ‘sabil’. Amati suara-suaraambience dalam Ilahi, Hasbi Rabbi dan Nuansa. Pun begitu, ‘sabil’ melakukan percubaan berbeza dengan sentuhan irama ‘fusion’ gaya sendiri.
Percubaan pada irama bentuk baru sebegini adalah satu usaha yang dirangsang dari penghayatan irama fusion, menerusi praktik DIY. Selama beberapa tahun yang lalu, konsep DIY ini tidak pernah dihayati proses dan matlamatnya. Konsep ini membuka ruang kreativiti baru kepada karyawan di seluruh dunia, dengan konsep ini jugalah karyawan mula berkarya dengan ide-ide yang bersangkutan dengan nilai kehidupan harian. Dengan perkembangan teknologi selepas era perang dingin sekitar tahun 70-an, instrumen dan peralatan rakaman yang mula bersepah di pasaran kini membuka peluang kepada pengkarya melakukan eksperimen sendiri yang mana bentuk muzik tidak lagi menurut ‘rentak tari’ genre-genre muzik arus perdana. Menghimbau sedikit latar muzik yang berkonsepkan DIY ini dengan terang ia bersentuhan dengan perubahan sosiologi dan kebudayaan manusia.
Pada tahun-tahun 70 dan 80-an, dunia pada masa itu berperang. Perang dingin antara ideologi–kapitalis dan komunis. Zaman itu diingati juga dengan perang Teknologi. Kedua blok ideologi ini berlumba mencapai kemajuan sains menerusi penciptaan senjata dan pelbagai peralatan lain. Kapitalis yang mempromosikan gaya hidup bebas dan mewah lebih banyak menyumbang kepada pembaharuan penggunaan teknologi dalam semua keperluan hidup manusia, dari ketuhar gelombang mikro, telivisyen, mesin kimpal, peralatan rumah, kenderaan termasuk aksesori gaya hidup. Gramofon, piring hitam, radio kaset, mini compo, Hi-fi, setelah itu cakera padat (CD) dan seterusnya pendrive dan ribuan gadget lain. Peluang yang dilimpahkan oleh kapitalis ini bukan terhad kepada material dan fizikal sahaja tetapi juga ide. Ide kapitalis yang ’mesra perang’ walau atas apa tujuan sekalipun telah menyedarkan kelompok masyarakat yang mula mempersoalkan tentang ide kemanusiaan. Lebih penting mula mempersoal rasional kemanusiaan itu sendiri yang menjangkiti hal-hal berorientasikan keyakinan dan takdir–Teologi.
Konsep DIY ini juga memberi makna baru kepada karyawan. Hasil ciptaan, gubahan atau cetusan ide dan pakej (packaging) tidak lagi dimonopoli oleh institusi dan kapital bulat-bulat, sebaliknya kini–individu. Persoalan-persoalan yang dibawa oleh individu-individu ini lebih merencam lagi, lebih kritis dan lebih terbuka. Tidak ada lagi alasan untuk tidak dapat berkarya mengikut pandangan sendiri. Kini semua persoalan tentang hidup dikumpul dalam dunia penciptaan muzik sebagai medium merekabentuk kebudayaan baru.
Dengan kesedaran umat manusia zaman ini. Persoalan-persoalan serius seperti hal kemanusiaan dan alam telah mendorong ide yang berkonsepkan celestial, dahulu konsep celestial ini hanya menjadi ritual di gereja atau di lapangan agama, tetapi kini semakin berkembang dalam arus muzik kontemporari. Cat Steven antara beberapa kerat artis yang mula bekerja ke arah itu. Konsep ini bertapak di Malaysia dengan bentuk Nasyid. Suatu waktu dulu Nasyid ala-ala Nada Murni ini sama tarafnya dengan Dangdut di Indonesia–muzik golongan murba. Nadanya parallel (sekata). Tiada elemen harmonik. Hanya nyanyian beramai-ramai. Ritual tidak dalam, harmonis juga tidak penuh. Kemudian munculnya fenomena kumpulan nasyid kontemporari ala Raihan pula. Hasilnya juga sama, dari segi lirik, ia hanyalah pengulangan ratib agama yang tidak halus dan dalam. Namun konsep muzik ini sudah semakin jelas dan menarik. Tidak lupa, fenomena ini telah menghasilkan sampah, ini juga fenomena normal kesan dari fenomena utama, ‘dosa’ orang yang menghasilkan sampah ini sedang ditebus kembali oleh ‘Sabil’.
‘Sabil’ memahami enigma permasalahan konsep sebegini. Maka itu mereka mengekalkan tajuk dalam bahasa Arab tetapi ’merenda’ elemen dan karya dengan pendekatan baru–fusion. Dari segi teori, ’Sabil’ berjaya menyamar dalam trend muzik nasyid masa kini.
Khabarnya, jualan album ini lembap. Mereka agak kecewa. Sememangnya, karya yang berkonsep baru dan ‘serius’ seperti ini memang sukar mendapat laba mewah, apatah lagi di Malaysia. Persepsi dan apprisiasi manusia Malaysia amat rendah menilai estetik sesebuah karya (yang berlawanan dengan arus popular). Aku sering memujuk mereka, ini Malaysia, bukan Eropah. Lebih baik ia tidak laku (jualan CD) kerana kelak, semua ini akan mengesahkan lagi dan ‘memahalkan’ mutu karya ini. Teori aku dalam hal ini memang tidak popular di kalangan pandangan popular, tapi inilah hakikat muzik di Malaysia. Pecahan pendengar/peminat muzik yang ‘rare’ tiada. ‘Sabil’ inilah yang akan membuka langkah awal menyubur khalayak pendengar yang baru. Ia jalan menuju pencerahan kebudayaan kita.
Aku sms kepada Najmie, aku tanyakan tentang ‘sabil’ katanya “..semuanya aku..haha.SABIL tu pun aku (beri tajuknya), yang bermakna ‘jalan’aku, dalam perJALANan ‘Fi SABILlilah’ sebab aku rasa Sabil ku bukannya lama beno pun..huk huk..”
Rupa-rupanya, selain besar dan luas makna ‘Sabil’ ini, ia juga amat peribadi sekali.
Dapatkan ‘Sabil’ dari Tuannya – Hakim dan Najmie.
RALAT : Oleh kerana aku (penulis) terlibat secara langsung dalam proses adunan bunyi album ‘Sabil’ ini, maka aku tidak dapat menilai dan mengkritik hasil kerja aku sendiri dengan jujur, harapan aku, jika ada teman-teman yang kritis, sudilah kiranya dapat menambah kritikan dalam hal adunan bunyi ’sabil’.
Mazir Ibrahim, seorang komposer dan penggiat MusicForum, sebuah kumpulan yang giat mengangkat isu dan wacana perbincangan musik di Malaysia.





Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Melayu kerja Gomen?

Kullu Man Fil Kauni

Qasidah: Ayyuhal Mushtaq/Ya Ilahal Kawni