[Khas Wanita] Gangguan Seksual Dan Apa Boleh Dilakukan Jika Menjadi Mangsa?



Pernahkah anda mengalami tindakan gangguan seksual (Sexual Harassment), contohnya tiba-tiba rakan sepejabat kita meletakkan tangannya dibahu kita yang mengakibatkan perasaan tidak selesa? Atau rakan kita menceritakan jenaka lucah, dengan bermaksud untuk sekadar bergurau tetapi kita merasa terganggu atas jenakanya? Contoh yang diberikan itu tadi boleh disebut sebagai gangguan seksual.
Banyak dari kita mengalami kejadian seperti contoh di atas tetapi mungkin situasi tersebut dianggap sebagai suatu yang normal terjadi atau bahkan kita tidak mengetahui bahawa kita telah menjadi mangsa gangguan seksual.
Sehingga hari ini, negara kita tidak mempunyai kod undang-undang yang berkuat kuasa membabitkan gangguan seksual secara khusus. Apa yang ada hanyalah Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja yang dilancarkan pada 1999 atau disebut sebagai Kod Amalan. Kod Amalan ini bertujuan memberi garis panduan kepada majikan mengenai penubuhan mekanisme dalaman pada peringkat organisasi bagi mencegah dan membasmi gangguan seksual di tempat kerja.
Apa yang dimaksudkan dengan gangguan seksual? Gangguan seksual bermaksud sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini dan memberi kesan sebagai satu ganguan sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal.
Gangguan seksual boleh dibahagikan kepada dua kategori :
1. Gangguan seksual berbentuk ugutan (sexual coercion).
2. Gangguan seksual berbentuk ancaman terhadap ketenteraman peribadi (sexual annoyance).
Adalah penting ditekankan bahawa gangguan seksual bermakna tingkahlaku seksual yang tidak diingini dan tidak disenangi oleh mangsa. Ia juga merupakan satu kelakuan seksual yang dilakukan ke atas penerima tanpa diminta atau dibalas balik oleh penerima.
Gangguan seksual di tempat kerja juga termasuk gangguan seksual yang berlaku di luar tempat kerja yang timbul dari hubungan dan tanggungjawab yang berkaitan dengan pekerjaan. Situasi di mana gangguan seksual seperti ini boleh berlaku adalah termasuk, tetapi tidak terhad kepada:
  • majlis sosial berhubung dengan pekerjaan
  • semasa menjalankan tugas di luar tempat kerja
  • sesi persidangan atau latihan berkaitan dengan pekerjaan
  • semasa perjalanan berkaitan dengan tugasan
  • melalui telefon
  • melalui media elektronik
Bentuk- Bentuk Gangguan Seksual
Gangguan seksual merangkumi pelbagai tingkah laku seksual yang boleh dibahagikan kepada lima jenis iaitu :
1. Gangguan secara lisan:
  • contohnya: kata-kata, komen, gurauan, usikan bunyi dan soalan-soalan yang berbentuk ancaman atau cadangan seksual.
2. Gangguan secara isyarat/bukan lisan:
  • contohnya: pandangan atau kerlingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir atau memegang atau memakan makan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks, tingkah laku mengurat yang berterusan.
3. Gangguan visual:
  • contohnya: menunjukkan bahan-bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual, mendedahkan bahagian bahan yang sulit yang tidak sepatutnya didedah.
4. Gangguan psikologi:
  • contohnya: mengulangi jemputan sosial yang telah tidak diterima, memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau untuk bercumbuan.
5. Gangguan fizikal:
  • contohnya: sentuhan yang tidak diingini, menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium, serangan seksual.
Mengapa Mangsa Gangguan Seksual Adalah Wanita?
Gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina. Namun, gangguan seksual terhadap wanita adalah lumrah dan telah tercatat sejak pertama kali wanita memasuki pasaran tenaga kerja. Ini bermakna gangguan seksual terhadap wanita bukanlah sesuatu yang baru, tetapi sudah setua umur sejarah wanita memasuki dunia kerja iaitu sejak kapitalisme berkembang.
Kesan Gangguan Seksual
  • Kerjaya. Mangsa cenderung untuk mengasingkan diri, mengelakkan diri unutk hadir ke pejabat, mengalami penurunan tahap kepuasan atau prestasi kerja, kehilangan pekerjaan atau peluang kenaikan pangkat dan mengubah matlamat kerjaya.
  • Fisiologi. Dari aspek ini, mangsa mungkin mempamerkan gejala-gejala seperti sakit kepala, gangguan tidur (mimpi ngeri), hilang selera makan kerana bimbang dan terlalu banyak berfikir.
  • Malu. Kesan sosial yang dialami mangsa mengakibatkan mangsa ingin mengasingkan diri dari pergaulan. Perasaan ini timbul akibat rasa rendah diri kerana menjadi mangsa gangguan seksual, sehingga merasa tidak berharga dan tidak layak untuk bergaul dengan rakan-rakan sepejabatnya.
  • Ketakutan dan Curiga. Perasaan takut dan curiga merupakan kesan emosi yang sering dialami mangsa. Perasaan ini muncal dalam bentuk takut kepada orang tertentu, bentuk tubuh tertentu dan tempat tertentu. Selain itu, mangsa sering menjadi ‘paranoid’ kepada orang tertentu, orang asing yang tidak dikenalinya serta tempat asing yan belum pernah dikunjunginya.
  • Trauma. Kesan mental pula adalah kerana pernah mengalami peristiwa yang sangat menyakitkan, menyedihkan dan berat bagi diri mangsa. Justeru itu, mangsa sukar untuk melupakan peristiwa tersebut dan mengalami gangguan ketenangan, penumpuan dan kestabilan mental sehingga dapat menggangu akviti sehariannya.
Mangsa Biasanya Enggan Melapor Masalah Ini kerana:
  • trauma, malu, takut dan curiga
  • takut terdedah kepada publisiti
  • implikasi kewangan
  • tiada prosedur aduan
  • takut akan tindak-balas
Petua Untuk Menghindari Gangguan Seksual Di Tempat Kerja
  1. Bekerja secara professional, kita perlu dapat membezakan mana hal-hal yang bersifat peribadi dan umum serta apa yang boleh dilakukan atau tidak boleh dilakukan di tempat kerja. Dalam kata lain, kita perlu mengetahui apa yang dimaksudkan dengan gangguan seksual serta menyebarkan maklumat tentang gangguan seksual.
  2. Elakkan ‘stay-back’, bekerja sendirian selepas waktu kerja sehingga malam hari. Sekiranya terpaksa, pastikan kehadiran kita diketahui oleh orang lain dan pastikan ada rakan sekerja yang dipercayai apabila ada keperluan untuk ‘stay-back’.
  3. Berpakaian sopan dan bersesuaian dengan suasana di tempat kerja. Kita perlu dapat membezakan pakaian yang menjolok mata dengan menyejukkan mata.
  4. Berperilaku dan berbicarasopan ketika berkomunikasi dengan rakan sekerja, bukan bererti kita tidak boleh bergurau dengan rakan sekerja atau perlu terlalu serius.
  5. Bersikap ramahdan bersahabat. Kadangkala terlalu ramah juga boleh disalahertikan oleh pihak lain. Oleh itu, keramahan bukan bermakna kita bertutur dengan cara menggoda dan kita perlu menghindari gaya bicara yang manja dan genit.
  6. Hindari daripada berdua-duaan dengan rakan lelaki di tempat yang sepi. Bukan sahaja dapat menghindari dari gosip yang sering kali berlaku di tempat kerja, malah dapat menghindari terjadinya gangguan seksual yang tidak diingini.
  7. Mengungurkan diri dari organisasi tempat kita bekerja adalah pilihan terakhir, jika anda berada dalam keadaan sangat terpaksa dan mendesak.
Langkah-langkah yang boleh anda lakukan adalah :
  1. Membuat catatan tentang kejadian gangguan seksual yang anda alami. Catat dan teliti identiti perlaku, tempat kejadian, waktu, saksi, bahan bukti seperti sms yang ditujukan kepada anda oleh pelaku serta perincian ucapan-ucapan pelaku.
  2. Beritahu kepada orang lain tentang gangguan yang anda alami. Ceritakan kepada sesiapa sahaja yang anda percayai.
  3. Melaporkan gangguan seksual tersebut, kerana ianya melanggari undang-undang. Laporkan kepada seminima bilangan orang yang mungkin agar dapat menjaga kepentingan mangsa dan sipelaku.
Cara Mengatasi atau Membuat Aduan Mengenai Gangguan Seksual
Cara 1
Dapatkan kepastian jika dipejabat mengguna pakai Tata Amalan Pencegahan dan Pembanterasan Gangguan Seksual di Tempat Kerja yang dilancarkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada bulan Ogos 1999.
Tata Amalan ini secara amnya mendefinisikan gangguan seksual dan mencadangkan mekanisme dalaman ditubuhkan untuk menangani masalah gangguan seksual ini.
Tata Amalan ini mengkehendaki syarikat-syarikat untuk merumuskan polisi yang melarang gangguan seksual, menubuhkan mekanisme aduan menangani gangguan seksual, lengkap dengan peraturan dan hukuman, menyediakan perlindungan dan langkah-langkah pemulihan kepada mangsa dan mengadakan program pendidikan dan menjadikan pekerja-pekerja terdidik tentang isu gangguan seksual di tempat kerja.
Cara 2
Aduan boleh juga dibuat di Jabatan Buruh. Jabatan ini kemudiannya akan meminta majikan menyiasat aduan tersebut.
Tetapi, kuasanya hanya setakat meminta suatu siasatan dalaman dijalankan atau perjumpaan dengan majikan itu. Jabatan ini tidak berkuasa untuk memaksa majikan mengambil apa-apa tindakan. Namun, adalah menjadi kebiasaan bahawa mangsa-mangsa gangguan seksual takut untuk membuat aduan kerana bimbang hilang pekerjaan.
Jika diberhentikan kerana membuat aduan, maka kita boleh mengambil tindakan dengan membuat aduan ke Jabatan Perhubungan Perindustrian atas dasar pemecatan yang tidak adil di bawah Akta Perhubungan Perindustrian 1967, seksyen 20.
Pegawai tersebut boleh disaman di bawah undang-undang sivil atas kesalahan tort untuk menuntut gantirugi dan injunksi. Injunksi ialah perintah Mahkamah menghalang pegawai tersebut mendekati sahabat saudari dan jika dia didapati melanggar perintah Mahkamah itu, dia akan dikenakan tindakan menghina Mahkamah.
Cara 3
Jika masih ragu-ragu atau mencari-cari kekuatan untuk bertindak, bolehlah menghubungi persatuan-persatuan wanita seperti AWAM atau WDC yang begitu aktif dan berpengalaman menangani masalah ini. AWAM boleh dihubungi di 03- 78774221 dan WDC di 03-77846979 / 77844977.

Peringatan! Jika anda menjadi mangsa gangguan seksual, anda jangan berdiam diri. Fikirkanlah langkah-langkah yang boleh anda ambil. Selalu tanamkan dalam diri anda bahawa gangguan yang terjadi sama sekali bukan kesalahan anda.

Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Melayu kerja Gomen?

Kullu Man Fil Kauni

Qasidah: Ayyuhal Mushtaq/Ya Ilahal Kawni