Fenomena Kesan HALO

sejak 2 menjak ni..tetiba minat ngan ilmu2 psikologi, mungkin sebab byk deal ngan mcm2 jenis org ni...kkdg x paham ape jenis manusia dengan perangai mcm2 ni...Ok la moh kita share salah satu ilmu psikologi..KESAN HALO (Copy paste je..)
++++++++++++++++

Pernahkah kita mengalami fenomena ini: Apabila kita tidak suka berkenaan sesuatu perkara yang ada pada diri seseorang itu, nanti kita juga tidak menyukai perkara-perkara lain pada dirinya? Ataupun, apabila dari mula kita tidak suka dengan orang itu, sampai bila-bila kita tidak suka kepadanya? Ataupun, sewaktu kita mengisi borang penilaian prestasi kerja orang bawahan kita, kalau untuk maklumat yang halo itu kita beri markah B, nanti banyak lagi maklumat-maklumat lain selepas itu yang kita beri markah B juga?
Pakar-pakar psikologi berfikir mengenal pasti beberapa jenis kesilapan berfikir yang bersifat fitrah manusia. Kesilapan-kesilapan berfikir jenis ini dilakukan oleh semua orang, tidak mengira dia seorang perdana menteri ataupun seorang penarik beca. Kesilapan-kesilapan itu kita lakukan tanpa kita sedari, ertinya kesilapan ini berlaku bukan kerana kita sengaja melakukannya.
Kesilapan jenis ini adalah disebabkan yang terjadi pada kelemahan-kelemahan manusia apabila kita membuat persepsi. Salah satu daripada kesilapan persepsi yang selalu kita lakukan disebut dengan istilah kesan halo. Perkataan halo ialah nama bagi cahaya terang yang biasanya dilukiskan di atas kepala gambar-gambar para wali Kristian.
Pernahkah kita mendengar orang berkata begini:
a). "Budak tu bijak betul. Dia tentu rajin belajar. Di universiti pun nanti dia akan mahasiswa cemerlang."
b). "Dia rajin datang kerja cepat. Dia. Dia tentu pekerja yang baik.
c). "Dia pemimpin agama yang alim. Budi pekertinya tinggi. Dia takkan melakukan rasuah. Orang-orang dalam partinya juga takkan rasuah.
d). "Dia lulus ijazah ekonomi dengan cemerlang. Dia tentu akan menjadi ahli ekonomi yang baik. Seterusnya dia akan menjadi menteri ekonomi dan perdana menteri yang bijak."

Kata-kata seperti ini menunjukkan bahawa apabila kita mula membuat satu penilaian positif ke atas sesuatu, seterusnya kita cenderung memberi penilaian-penilaian lain yang positif juga kepada perkara itu. Sebagai contoh, apabila kita sudah membuat satu penilaian positif ke atas seseorang, seterusnya kita cenderung memberi penilaian-penilaian lain yang positif juga kepada orang itu. Sebagai contoh, di dalam ayat (a) Budak itu bijak ialah penilaian positif. Rajin belajar adalah penilaian positif. Mahasiswa cemerlang adalah penilaian positif juga. Pemikiran seperti ini mengandungi kesilapan kesan halo. Di sini, kesilapan kita ialah, di dalam dunia sebenar, budak yang bijak tidak semestinya rajin belajar, manakala budak yang rajin belajar belum tentu bijak. Malah budak yang bijak semasa di sekolah belum tentu menjadi mahasiswa cemerlang di universiti. Ataupun pernahkah kita berkata: "Budak tu tak berapa pandai dalam darjah. Dia tentu malas belajar. Bila besar nanti dia takkan jadi orang yang berjaya"?
Di dalam dunia sebenar, budak yang yang tidak berapa pandai belum tentu malas belajar. Ramai budak yang tidak mendapat markah tinggi sebenarnya terdiri daripada mereka yang rajin belajar. Malah ramai pelajar-pelajar yang tidak berapa pandai semasa mereka di sekolah kemudiannya menjadi orang yang sangat berjaya. Sebaliknya ramai juga di kalangan mereka yang cemerlang di sekolah akhirnya menjadi orang-orang yang "biasa sahaja' pencapaiannya setelah mereka dewasa.
Fenomena kesan halo mengatakan, apabila sekali kita sudah mempunyai persepsi positif ke atas seseorang, walau apa pun yang dibuat oleh orang itu, kita cenderung menilainya secara positif juga, termasuklah dalam perkara-perkara yang kita tidak tahu mengenainya. Sebagai contoh, kita melakukan kesilapan kesan halo apabila kita mengatakan begini tentang seseorang "Dia seorang pekerja yang jujur." seterusnya kita mungkin berani juga berkata "Dia tentu seorang suami yang jujur." padahal kita mungkin tidak tahu apa-apa berkenaan tingkah-laku orang itu sebagai seorang suami.
Kesan halo bukan hanya terjadi pada perkara-perkara positif. Ia juga berlaku secara negatif di mana apabila sekali kita sudah mempunyai tanggapan negatif berkenaan seseorang, kita cenderung membuat tanggapan negatif ke atas apa-apa yang dilakukannya. Malah perkara-perkara berkenaan diri orang itu yang kita tidak tahu pun akan kita nilai secara negatif. Sebagai contoh, apabila kita berkata, "Dia gagal sebagai ketua rumahtangganya." kita juga berani mengatakan "Dia takkan boleh menjadi ketua di pejabatnya". Ataupun kita berkata begini: "Buat nasi lemak pun tak pandai," seterusnya kita berani berkata "Inikan pula hendak berniaga restoran." Ataupun ada orang berkata "Semasa dia di sekolah dulu dia 'jambu'. Sampai bila-bila pun dia suka jadi jambu. Sudah jadi menteri pun dia tentu ada "jambu".
Fenomena kesan halo boleh membawa implikasi serius ke atas orang yang dipersepsi. Sebagai contoh, apabila seseorang ketua membuat penilaian yang sangat positif ke atas sesuatu perkara berkenaan orang bawahannya, dia cenderung menilai lain-lain perkara berkenaan orang itu secara positif juga. Begitu juga sebaliknya. Umpamanya, apabila seseorang ketua menganggap keraninya seorang yang cekap membuat kerja-kerja perkeraniannya, dia juga cenderung menganggap si kerani itu akan cekap menjalankan kerja-kerja sebagai ketua kerani. Hasilnya, apabila ada kekosongan jawatan bagi ketua kerani, maka si ketua itu akan menaikkan pangkat si kerani itu menjadi ketua kerani. Padahal, peranan dan tugas seseorang ketua kerani adalah berbeza dengan tugas-tugas seorang kerani oleh itu belum tentu kerani yang cekap membuat kerja-kerja perkeranian juga akan cekap membuat kerja-kerja seorang kerani kanan. Begitu juga yang sebaliknya.
Kesan halo menyebabkan penilaian yang kita buat ke atas berbagai-bagai aspek berkenaan seseorang itu mempunyai korelasi yang sama tinggi ataupun sama rendahnya. Sebagai contoh, apabila kita menilai seseorang itu sebagai seorang yang amat baik budi bahasa dan tegur sapanya, kita cenderung menilai orang itu juga amat baik dari sudut tingkah-lakunya, budi pekertinya, sikapnya, nilainya, perwatakannya, disiplin dirinya dan macam-macam lagi. Penialaian begini lazimnya salah. Umpamanya, orang yang amat baik budi bahasa dan tegur sapanya belum tentu amat baik apabila dinilai daripada sudut-sudut lainnya.
Fenomena kesan halo ialah punca kepada sejenis lagi kesilapan persepsi yang sangat kerap kita alami. Apabila kita sejak mula-mula lagi sudah menyukai atau membenci seseorang itu, kita cenderung menyukai ataupun membanci orang itu sampai bila-bila. Fenomena kesan halo juga mempunyai kesan yang serius terhadap orang yang kita nilai. Seperti juga halnya dengan fenomena kesan halo di tempat kerja, fenomena ini boleh menyebabkan kita membuat penilaian yang sangat tidak adil ke atas orang-orang bawahan kita.
Walaupun tugas menilai prestasi orang bawahan adalah salah satu tugas penting para pengurus, tetapi lazimnya, apabila kita menailai seseorang, kita tidak menilai prestasinya berdasarkan prestasinya semata-mata. Sebaliknya, kita menilai orang itu berdasarkan kesan halo yang kita alami sewaktu kita mula mengenalinya. Sering kali prestasi seseorang itu sebenarnya sudah meningkat, tetapi peningkatan itu tidak dilihat oleh ketuanya kerana si ketua masih berpegang kepada penilaian awalnya yang berdasarkan kesan halonya terhadap pekerja itu. Kesilapan kesan halo juga berlaku sebaliknya, di mana seseorang ketua membuat penilaian positif berdasarkan kesan halonya. Walaupun prestasi si pekerja itu sudah mula menurun tetapi ketuanya tidak melihat penurunan itu.
Fenomena kesan halo tidak semesti boleh dilihat dengan jelas. Kajian yang dibuat oleh Dougherty dan rakan-rakannya mendapati pelbagai bentuk kesilapan kesan halo yang halus. Mula-mula para pengkaji itu memerhatikan dan mengkaji cara-cara yang digunakan oleh beberapa orang juru interviu syarikat. Mereka memerhatikan cara-cara juru interviu itu menilai borang-borang permohonan jawatan dan hasil ujian yang diambil oleh calon-calon yang memohon jawatan. Kemudian para pengkaji itu membuat rakaman video sesi interviu ke atas calon-calon itu.
Kajian mereka mendapati apabila juru interviu itu memberi penilaian yang tinggi kepada calon-calon itu sewaktu mereka baru menilai borang permohonan dan hasil ujian mereka, juru-juru interviu itu memberi layanan yang lebih positif kepada calon-calon tersebut semasa diinterviu. Analisis pita video rakaman interviu menunjukkan calon-calon yang berjaya mencipta kesan halo yang positif ke atas juru interviu mereka mendapat layanan yang lebih positif sepanjang interviu mereka. Juru-juru interviu itu bercakap kepada mereka dengan teknik-teknik interpersonal yang lebih lunak dan mereka memberi lebih banyak maklumat tentang keistimewaan-keistimewaan syarikat itu.
Apa yang sebenarnya terjadi di dalam proses interviu itu ialah, para juru interviu itu bukannya mengambil kesempatan daripada interviu itu untuk mendapatkan maklumat yang objektif berkenaan calon-calon yang memohon jawatan itu, sebaliknya mereka menggunakan interviu itu untuk meyakinkan diri mereka sendiri bahawa kesan halo yang mereka dapati semasa membaca borang permohonan dan hasil ujian dulu adalah betul.
Suatu hal yang menarik ialah, sekiranya kita suka kepada seseorang, apabila dia melakukan perbuatan negatif, kita cenderung mengatakan dia melakukan perbuatan itu disebabkan oleh faktor-faktor luaran. Sebagai contoh, kalau orang itu tersepak batu, kita marahkan batu itu. Kita mungkin berkata "Siapa yang letak batu di situ?"
Sebaliknya apabila kita tidak suka kepada orang itu, apabila dia melakukan perbuatan negatif kita cenderung mengatakan dia melakukan perbuatan itu kerana salahnya sendiri. Sebagai contoh, kalau dia tersepak batu, kita marah kepadanya. Kita mungkin berkata "Awak dah buta ke, batu sebesar itu pun awak tak nampak?" Walau bagaimanapun, pakar-pakar belum pasti yang mana menyebabkan yang mana. Sebagai contoh, adakah kerana kita sangat cinta kepada pasangan kita maka kita suka menyalahkan faktor-faktor luaran sebagai punca perbuatannya yang negatif. Ataupun, adakah kerana kita suka menyalahkan faktor-faktor luaran sebagai punca perbuatan negatif pasangan kita maka kita terus-menerus cinta kepadanya.
Begitu juga, adakah kerana kita sudah benci kepada pasangan kita maka kita menyalahkan dirinya sendiri sebagai punca perbuatannya yang negatif. Ataupun adakah kerana kita suka menyalahkan pasangan kita sendiri maka lama-lama kita jadi benci kepadanya.

Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Melayu kerja Gomen?

Kullu Man Fil Kauni

Qasidah: Ayyuhal Mushtaq/Ya Ilahal Kawni